.

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah tuhan pentadbir sekalian alam. Yang memberi taufiq-Nya kepada sesiapa yang telah tertulis baginya kebahagiaan, lalu Allah mengerakkan hati-hati tersebut bagi menerima-Nya dengan penuh ketulusan dengan kehendaknya yang sebaiknya itu. Dan saya juga bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Dia yang Esa tanpa menyekutui-Nya. Inilah penyaksian yang mendapat tempat di dalam hati-hati lalu ia menjadi kukuh. Saya juga bersaksi bahawa penghulu kita Nabi Muhammad itu adalah hamba serta utusan-Nya. Baginda juga adalah Nabi-Nya dan teman-Nya. Allah berselawat, menyampaikan salam dan memberkatinya serta kaum keluarganya, para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti mereka sehingga ke hari kiamat.




Thursday, August 11, 2011

Bicara Tentang Keikhlasan

Bicara tentang keikhlasan bersama Al Habib Ali Al Jufri


Mengaku ikhlas belum tentu ikhlas kerana lidah manusia boleh berpura-pura bermain kata-kata. Ikhlas ialah kerja hati yang siapa pun tidak mengetahuinya kecuali ampunya diri, sedangkan dia masih boleh menzahirkan sebaliknya.
Oleh sebab itu, tiada hak bagi seseorang menuduh seseorang yang lain sebagai tidak ikhlas. Adalah satu kesalahan seseorang Muslim menuduh orang Muslim yang lain dengan yang negatif. Hal ini kerana seseorang tidak mampu mengetahui apa yang terkandung dalam hati seseorang. Hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang mengetahui niat di hatinya.
Sebenarnya ikhlas ialah rahsia hati seseorang tatkala melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ikhlas pada bahasa bererti bersih, maka orang yang ikhlas, hatinya bersih daripada sifat riak. Tindakannya tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sebalik dilakukannya hanya kerana perintah Allah.



Bagaimana Untuk Ikhlas



Persoalan sekarang bagaimana hendak menjadikan seseorang itu ikhlas. Bagaimana menjadinya ikhlas dalam mengamalkan agama, ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah, ikhlas dalam pergaulan dengan manusia, dan ikhlas dalam melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.



Sebenarnya orang yang ikhlas sama ada berhadapan dengan Allah atau manusia ketika melakukan sesuatu amalan atau kerja, tidak mengharapkan balasan dan sanjungan. Namun dia percaya perbuatannya pasti dinilai oleh Allah sebaiknya. Apa yang penting di sisinya ialah amalannya diterima oleh Allah s.w.t.


Lazimnya orang yang ikhlas takut untuk menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah ikhlas. Padanya biarlah pemberian tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kiri. Walau bagaimanapun kadang-kadang tindak tanduknya perlu juga diberitahu kepada orang ramai tentang keikhlasan hatinya.


Perhatikan dua contoh berikut; seorang kaya hendak memberi sumbangan kepada jirannya yang miskin, diserahkan kepadanya tatkala orang lain tidak nampak. Dia memberi semata-mata untuk menolongnya kerana seruan Allah.


Dalam kes yang lain, sesebuah syarikat hendak mendermakan kepada sesuatu badan kebajikan, perlu diisytiharkan kepada orang awam. Pemberian itu adalah ikhlas untuk membantu mengurangkan beban badan kebajikan itu. Pada masa yang sama pemberian itu boleh memberi rangsangan kepada orang kaya lain supaya turut berderma.


Pemberian orang kaya dan syarikat itu tidak boleh dituduh sebagai tidak ikhlas atau riak kerana tidak siapa pun yang mengetahui niat hati pihak berkenaan. Tuduhan orang lain dalam hal ini adalah salah dan berdosa kerana dia seolah-olah mendahului Allah dalam menghukum seseorang. Jadi, serah sahaja urusan menghukum seseorang itu sama ada ikhlas atau tidak kepada Allah. Tetapi alangkah baiknya kalau kita doakan seseorang yang memberi sesuatu sumbangan itu berhati ikhlas. Ingatlah bersangka baik terhadap seseorang itu adalah satu ibadah yang pasti besar pahalanya.